Bangsa Melayu Bangsa Pejuang

Bicara 1:

Menulis satu artikel yang tajuknya besar, huraiannya pula memerlukan pembuktian yang jelas, objektif yang tepat dan bahasanya yang mudah difahami oleh semua peringkat memerlukan kajian mendalam dan rujukan dari sumbernya yang asal dan pelbagai.

Gambar hiasan...


Namun kefahaman kepada satu persatu isu yang diketengahkan hendaklah sesuai dengan tahap pemikiran yang dimiliki oleh lapisan generasi. Bermula dari anak-anak, remaja, belia dan dewasa yang mempunyai julat umur pengalaman dan pemerhatian yang berbeza.

Oleh itu keterbatasan penulisan dan pendedahan pada isu yang dipaparkan perlu ditangani dengan penuh teliti agar semua pihak dapat menguasai sesuatu isu dengan mudah tanpa jemu dan tidak berada di alam khayalan.

Demikianlah mukaddimah permulaan penulisan saya yang bertajuk Bangsa Melayu Bangsa Pejuang. Kenapa saya memilih tajuk ini? Tidak lain dan tidak bukan demi kasih sayang saya kepada bangsa dan anak bangsa saya sendiri.

Jika sebelum ini saya banyak berbicara tentang isu ini dengan ahli jemaah di surau-surau dan di masjid-masjid, tapi kali ini saya agak terpanggil untuk menitip bait bicara kata melalui blog ini agar ia dapat disebarluaskan dan diambil manfaatnya oleh semua pengunjung.

Harapan saya agar penulisan ini tidaklah menjemukan apatah lagi menerawang entah kemana, ini kerana tajuk yang diketengahkan ini akan melalui fasa-fasanya yang bersambungan, tidak mungkin untuk saya membicarakan tajuk besar sebegini dalam satu makalah pendek.

Moga Allah S.W.T memberi ‘inaayahNya (pertolonganNya), taufiq dan keberkatan kepada saya serta memudahkan saya untuk berkongsi rasa mengetengahkan idea keimanan bersama pengunjung semua.

Pengunjung yang saya hormati;

Objektif utama saya dalam tajuk ini ialah membina dan mendedahkan kembali kebaikan yang telah lama tidak dihiraukan oleh sesetengah anak muda bangsa. Kebaikan yang semakin hari kian ditinggalkan ini, seolah-olah tidak ada lagi pewaris yang sanggup dan rela diri dengan penuh keikhlasan untuk menyambung risalah kemuliaan milik bangsa ini.

Sememangnya bangsa ini seolah-olah hampir ketandusan tempat rujuk dek kerana kematian dan pemergian orang-orang terdahulu. Ianya hampir lenyap disebabkan generasi bangsa ini dari hari ke hari sibuk dengan ikutan tradisi kehancuran yang disebarkan oleh bangsa hina dari blok barat.

Kemasyhuran pejuang bangsa seperti Mat Kilau, Tok Janggut dan mereka yang seangkatan dengannya hanya sekadar meniti di bibir manis generasi hari ini. Hanya setakat itu. Tidak lebih dan tidak kurang… Jika kita bertanya kepada anak-anak remaja dan belia bangsa kita tentang para pejuang yang terdahulu, mereka hanya sekadar mampu tersenyum mesra. Tidak mampu menitip kata apatah lagi bercerita meniupkan kembali semangat orang lama yang semakin hari kian luntur jiwa juang dek kerana dimamah usia.


Gambar hiasan...

Saya bukan bermaksud kepada semua anak remaja dan belia bangsa, tetapi itulah peratus sebenar kemunduran anak bangsa kita yang kian hari lupa dan tidak mengingati lagi asal usul serta sejarah kemuliaaan bangsanya. Pokoknya, kebaikan dan kemuliaan bangsa seolah-olah ingin ditinggalkan terus oleh generasi hari ini.

Oleh itu, saya melihat bahawa bangsa ini perlu dibangunkan kembali dengan keimanan, ketaqwaan, ketaatan dan pengabdian diri kepada Allah, sejarah Tok Selehong, Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Janggut yang taat mendamba diri kepada Allah perlu didedahkan. Ini kerana sejarah keimanan diri mereka kurang disentuh oleh ramai penulis hari ini.

Pada kesempatan yang sempit ruang waktu ini, saya ingin mengajak bangsa melayu agar kembali semula kepada ajaran agama Islam yang asal, kembali di dalam maksud berdasarkan kepada kefahaman yang jitu dan luas, keikhlasan yang tiada tolak bandingnya, agar dengannya bangsa yang telah menghadiahkan ratusan malah ribuan pejuang mujahidin ini mulia di mata dunia, tidak hilang risalahnya dan terkenal dengan ketaatannya.

Bangsa Melayu Bangsa Pejuang!!! Satu slogan yang bukan sembarangan jika bangsa ini kembali tunduk patuh kepada ajaran tauhid sepertimana yang telah ditunjukkan oleh para pejuang terdahulu. Mereka yang terdahulu mati syahid dijalan Allah kerana mempertahankan keimanan diri dan anak bangsa. Mereka begitu yakin dan tinggi tawakkal sebagaimana yang kita lihat di dalam doa iftitah mereka yang mempunyai gagasan kehidupan yang jelas.

Gagasan mereka yang hebat ini berbunyi “sesungguhnya solatku, ibadahku (pengorbananku), hidupku dan matiku adalah semata-mata untuk Allah Tuhan kepada alam semesta” (sebagai persiapan untuk bertemu Allah Azza Wa Jalla).

Maaf jika saya mengatakan inilah asas-asas utama kepada kebangkitan bangsa melayu tidak lama dahulu, inilah gagasan keimanan dan ketaatan yang tidak goyah walaupun bersembur darah mereka ditembak oleh manusia kufur. Merekalah pejuang sebenar kepada bangsa ini kerana mereka yakin bahawa tidak ada cara lain yang paling baik untuk mempersiapkan diri dan bangsa melayu bertemu Tuhan kecuali dengan ruh keimanan yang melangit tinggi.

Bayangkanlah!!! Suatu ketika dahulu, para pejuang ini sibuk membaca al-Quran di sebalik pelita lilin pada malam dan dinihari subuh, kekadang terpaksa membacanya di dalam hutan belantara disulami dengan solat malam dan solat jemaah yang tidak pernah ditinggalkan, hidup penuh kesusahan namun hati mereka tenang, jiwa mereka bahagia, hidup mereka sejahtera. Tidak ada keluh kesah apatah lagi rasa putus asa di dalam diri mereka. Tawakkal mereka hanya pada Yang Esa walaupun setiap hari berhadapan dengan ancaman bunuh, penangkapan dan penyiksaan.

Kajian tentang keimanan diri mereka kepada Allah dapat dilihat pada anak cucu mereka yang masih hidup. Kendatipun yang tinggal sekarang ini hanya beberapa kerat sahaja. Namun ruh jiwa juang itu masih belum lenyap, ruh jiwa keimanan yang menjulang ke langit tinggi itu masih tumbuh hari demi hari. Berganti dari satu generasi kepada generasi seterusnya.

Tetapi peredaran zaman, pertukaran waktu dan suasana, kemewahan hidup dunia dan keamanan yang palsu telah menghapuskan saki baki anak cucu pejuang yang tinggal. Di surau-surau dan masjid-masjid serta tempat solat jemaah didirikan sudah tidak lagi dipenuhi oleh anak-anak remaja dan belia bangsa. Kekadang sesetengah surau sudah ditutup dek kerana tiada imam. Inilah akibatnya bila generasi pewaris bangsa bukan lagi dari golongan orang-orang yang tinggi nilainya disisi Allah. Lalu timbul persoalan di mana silapnya? Adakah kerana … atau …. Dan bermacam-macam persoalan yang timbul dibenak pemikiran…

Bersambung pada episod akan datang…