Peluang Untuk Dai'e IlaLlah

Tugas atau tanggungjawab menyampaikan dakwah bagi setiap dai'e @ dai'eyah IlaLlah bukanlah hanya pada tempat-tempat tertentu, untuk orang-orang atau peribadi tertentu, untuk badan-badan atau organisasi atau parti tertentu. Tetapi tugas atau tanggungjawab menyampaikan dakwah ini meliputi semua yang disebutkan tadi. Sebab itu bangsa Melayu di tanah barakah ini terkenal dengan kehebatan yang tiada tandingannya dalam segenap segi kehidupan.

Bangsa Melayu ketika dahulu, pada zaman nenek moyang kita dahulu, mempunyai cara tersendiri dalam menyampaikan dakwah kepada anak-anak kecil, remaja dan juga orang dewasa. Tetapi hikmah dakwah yang telah ditunjukkan oleh mereka yang terdahulu itu seolah-olah sudah tiada di dalam kamus kehidupan bangsa ini. Sedangkan bangsa Melayu ini suatu ketika dahulu merasa izzah (mulia) dengan risalah Islam, Deen yang diyakini ini.

Mereka tidak mudah mengikut arus kemajuan yang jauh dari akta Allah. Bagi mereka, kemajuan bangsa adalah terletak pada sejauh mana pegangan ummah ini dengan solat, al-Quran, zikir, ziarah kubur "bagi mengingatkan diri pada kematian", ziarah orang soleh, melakukan dan melaksanakan segala bentuk kebajikan, ringan tulang dan bebas diri dari segala jenis amal yang bertunjangkan kepada riya', takabbur dan semua sifat mazmumah.

Kerana itulah bangsa Melayu pada zaman dahulu gah namanya seantero dunia. Megah dengan panji Islam yang berkibar mengikut angin zaman tetapi tidak mengikut arus kebatilan. Meraikan semua kehendak manusia dengan bersyarat, iaitu tidak melanggar syariat Allah yang tertera di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Dakwah ini sentiasa mengharapkan lahirnya rijal yang mampu memikul beban dakwah dalam segenap segi kehidupan, tidak menjurus kepada sudut-sudut tertentu sahaja. Dan dakwah ini sifatnya sentiasa bergerak melampaui garis sempadan perbatasan yang dicipta oleh manusia, jika dai'enya tinggal berhampiran dengan masyarakat tertentu, dia sentiasa mencipta peluang yang terbaik agar masyarakat berhampirannya memperolehi kebaikan yang ada di dalam Islam. Dia pasti akan menggunakan peluang yang ada dengan penuh kasih sayang. Tidak terlalu gopoh dan berusaha untuk memadamkan api kejahilan yang sentiasa membakar disekelilingnya.

Ya Allah, golongkanlah kami di dalam golongan orang-orang yang menyampaikan dakwah seperti sahabat yang bernama Mus'ab Bin Umair dan lainnya.